Sebuyau Berubah Wajah, Pacu Ekonomi Pesisir Sarawak

Disiarkan pada 19 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Sebuyau kini muncul sebagai simbol kemajuan kawasan pesisir Sarawak hasil pembangunan pesat yang meliputi pelbagai infrastruktur moden dan kemudahan awam.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, transformasi Sebuyau membuktikan keberkesanan dasar pembangunan luar bandar yang dilaksanakan kerajaan negeri selama ini.

"Suatu ketika dahulu, Sebuyau hanya boleh diakses melalui perahu, namun kini ia berubah sama sekali dengan jaringan jalan raya moden, jambatan baharu dan kemudahan asas yang semakin lengkap,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Regatta Sebuyau 2025 di Tebingan Sungai Sebuyau pada Ahad.

Datuk Amar Awang Tengah turut menyifatkan pembinaan jambatan terpanjang di Malaysia yang sedang dilaksanakan di Sebuyau sebagai lambang kemajuan pesisir Sarawak serta penghormatan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, pembangunan berterusan seperti jalan pesisir, bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan awam telah membuka ruang ekonomi baharu termasuk perusahaan kecil, inap desa dan pelancongan sungai.

"Apabila infrastruktur lengkap, peluang ekonomi rakyat turut meningkat. Inilah hasil muafakat antara kerajaan, pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi,” tegasnya.

Beliau menambah, kerajaan negeri komited memperkukuh pembangunan Sebuyau agar muncul sebagai pekan strategik dan destinasi persinggahan utama di laluan pesisir, seiring aspirasi menjadikan kawasan itu sebagai enjin pertumbuhan baharu Sarawak.

Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Regatta Sebuyau 2025 telah bermula sejak 12 Oktober dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan memancing, memanah, futsal, sukan petanque dan persembahan artis jemputan.

Turut hadir dalam program itu ialah Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Dato Sri Mohamad Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Beting Maro Dato Razaili Gapor, ADUN Simunjan Awla Dris dan Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang.-EDISI UKAS