PADAWAN: Kawasan Padawan yang kaya dengan warisan geologi serta ekosistem semula jadi perlu terus dipelihara sebagai aset penting negeri dan sumber pembangunan mampan pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil berkata, landskap geowarisan di kawasan seperti Kampung Sadir, Annah Rais, Simuti, Sibakar dan Sibuang bukan sahaja mempunyai nilai konservasi tinggi, malah berpotensi besar untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti.
"Landskap geowarisan bukan sekadar aset pemuliharaan, tetapi juga mempunyai potensi besar untuk dimajukan melalui pelancongan komuniti dan pendidikan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Penanaman Pokok Belia Kampung Sadir sempena Sambutan Hari Geodiversiti Antarabangsa 2025 di sini, pada Ahad.
Sementara itu, beliau menambah pelan tindakan pembangunan eko-pelancongan bagi kawasan DUN Mambong sedang dirangka bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan mematuhi prinsip keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian alam semula jadi.
Dalam masa sama, Datuk Dr. Jerip memuji penglibatan aktif belia Kampung Sadir dalam menjayakan program tersebut, menyifatkannya sebagai pelaburan hijau untuk masa depan Sarawak yang mampan.
Beliau turut mencadangkan agar inisiatif seumpama itu dijadikan program tahunan dan diperluaskan ke kampung-kampung lain di kawasan DUN Mambong bagi memperkukuh agenda hijau negeri.
Turut hadir, wakil Pengarah Hutan Sarawak, Madeline George Pau dan Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong.-EDISI UKAS