BINTULU: Kerajaan Sarawak akan meneruskan agenda pembangunannya meskipun pendapatan negeri sedikit terjejas kesan tarif dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap produk minyak.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, perkara itu akan diperincikannya semasa pembentangan Belanjawan Sarawak 2026 pada Persidangan DUN Sarawak bulan depan.
“Walaupun ada terjejas sedikit sebab Presiden Trump, tarifnya ada menjejas harga minyak, tapi kita masih boleh tahan. Memberikan pembangunan kepada rakyat.
“Insyallah dalam belanjawan saya bulan depan,” katanya berucap pada majlis penutupan Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 di Dewan Suarah Bintulu pada Ahad.
Hadir sama Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, dif-dif kenamaan lain, ketua-ketua jabatan serta para belia.
Menurut Premier lagi, prestasi kewangan Sarawak bertambah kukuh hari ini dengan mencatat pendapatan RM14.2 bilion pada tahun lepas berbanding hanya RM6 bilion semasa beliau mula mengambil alih tampuk pentadbiran negeri ini pada 2017.
Katanya, kekuatan kewangan ini membolehkan Sarawak melaksanakan pelbagai pembangunan infrastruktur untuk memajukan negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.
Dalam hal ini, beliau menyeru kepada para belia agar melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu khususnya teknologi terkini dan tenaga diperbaharui yang menjadi sumber ekonomi baharu negeri ini.
“Kalau takda (duit), bagaimana hendak membina Jambatan Kemena, bagaimana hendak membina jalan raya pesisir.
“Kita perlu tahu bagaimana untuk meningkatkan pendapatan kita,” tegas Premier. - EDISI UKAS