Belia Penerus Kesinambungan Kepimpinan Sarawak

Disiarkan pada 19 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Golongan belia merupakan pemimpin masa depan yang akan meneruskan kesinambungan kepimpinan Sarawak dengan integriti dan wawasan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, belia adalah agen perubahan yang menggerakkan pembangunan ekonomi, sosial, budaya dan teknologi negeri.

Katanya, penglibatan aktif belia akan memperkukuh semangat kebersamaan, melahirkan idea-idea baharu serta membuka ruang untuk membina jaringan dan kerjasama yang mampu mengangkat belia Sarawak di peringkat yang lebih tinggi.

“Sehingga kini, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak telah menganjurkan program Jelajah Belia Sarawak di 33 daerah dengan penyertaan lebih 25,000 belia.

“Ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk mendekati belia di akar umbi termasuk luar bandar dan pedalaman, memberi peluang penyertaan dalam aktiviti bermanfaat, memupuk jati diri serta semangat kepimpinan, di samping mengurangkan jurang pembangunan agar tiada belia yang tercicir dalam arus kemajuan negeri.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya semasa Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 di Dewan Suarah Bintulu pada Ahad.

Penutupan program itu disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan turut dihadiri dif-dif kenamaan lain, ketua-ketua jabatan serta para belia.

Menurutnya, Minggu Belia Sarawak ini turut memberi pengiktirafan dan motivasi kepada anak muda melalui pameran bakat, pertandingan serta anugerah yang diberikan.

“Dengan adanya bengkel, forum dan sesi latihan, belia kita dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran baharu, termasuk kepimpinan, digital, inovasi dan keusahawanan.

“Ia juga membuka jalan untuk jaringan dan kolaborasi bersama pihak kerajaan, industri, institusi pendidikan serta NGO,” tambah beliau lagi.

Menurutnya, kehadiran dan penglibatan belia bukan sahaja memberi impak besar kepada program ini, malah menjadi inspirasi serta doringan positif kepada belia lain yang belum berpeluang menyertainya.

Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 diadakan dari 13 hingga 19 Oktober yang menampilan tiga aktiviti utama dengan 16 pengisian program iaitu Youth Champion, Youth X-Tive dan Youth Marketplace.

Sementara itu, anak jati Kuching, Shahradhi Libiki Iskandar Ridhuan (33 tahun) merangkul Anugerah Belia Sarawak 2025 (Kategori Individu Lelaki).

Anugerah bagi Kategori Individu wanita pula menjadi milik Rapunzel Anthony Jamuh (28) dari Miri.

Saberkas Cawangan Satok pula muncul Johan Anugerah Persatuan Belia Sarawak 2025 manakala naib johan kategori sama dirangkul Kelab Iban Mansang Bawang Assan. - EDISI UKAS