Seni Arca Logam Mampu Jadi Pemangkin Ekonomi Kreatif Luar Bandar

Disiarkan pada 19 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SADONG JAYA: Seni arca logam bukan sekadar aktiviti seni semata-mata, tetapi satu bidang kemahiran yang mampu menjana pendapatan dan membuka peluang baharu kepada golongan belia, khususnya di kawasan luar bandar.

Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, seni berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi kreatif luar bandar jika digarap dengan serius dan berterusan.

“Kemahiran ini boleh menjadi sumber rezeki yang lumayan jika diteruskan dengan bersungguh-sungguh. Arca logam boleh dijadikan hiasan taman, dekorasi pejabat, produk pelancongan bahkan simbol identiti sesebuah tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Seni Arca Kimpalan Logam 2025 di Studio Kasat Arca, Kampung Sungai Bilis, pada Ahad.

Rodiyah menambah, potensi seni arca logam boleh diperluas seiring dengan usaha kerajaan memupuk ekonomi kreatif yang berasaskan kemahiran tempatan, sekaligus membantu memperkukuh daya saing belia dalam bidang industri seni dan pelancongan.

Beliau turut berkongsi mengenai kejayaan Mohamad Kasat Bujang Narawi, pengasas Kasat Arca, sebagai contoh anak luar bandar yang berjaya mengubah minat menjadi kerjaya bertaraf antarabangsa.

“Dari minat dan tekad, beliau kini dah sampai ke tahap antarabangsa. Beliau merupakan penerima Anugerah Usahawan Harapan (RBC 2016) dan Anugerah Elite World Record atas penciptaan Arca Sape Logam Terpakai Terbesar di Dunia.

“Kalau Kasat boleh mula dari bengkel kecil di kampung, tapi kini diiktiraf dunia, apa lagi alasan untuk kita tidak mencuba,” ujarnya.

Menurut Rodiyah, seni arca logam juga mempunyai potensi besar sebagai produk pelancongan berasaskan komuniti, sekaligus memperkenalkan identiti Batang Sadong sebagai daerah yang kaya dengan bakat dan kreativiti anak muda.

“Bayangkan suatu hari nanti, apabila orang masuk ke Batang Sadong, mereka disambut oleh arca logam hasil tangan anak muda tempatan. Itu akan jadi satu kebanggaan,” katanya.

Rodiyah turut mengalu-alukan kerjasama antara komuniti seni tempatan dan pelbagai agensi termasuk Kraftangan Malaysia, Sarawak Craft Council, MOTAC, KKDW, Balai Seni Negara serta Majlis Seni Sarawak (MSS) bagi memperkukuh ekosistem seni kreatif luar bandar.

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus menyokong inisiatif pembangunan belia melalui pendekatan berasaskan kemahiran dan kreativiti.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Tadbir Daerah kecil Sadong Jaya Abdullah Sam Yusup.-EDISI UKAS