Nilai Kekeluargaan Kunci Kemakmuran Negara

Disiarkan pada 19 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Nilai kekeluargaan yang kukuh menjadi asas utama dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan negara yang makmur

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dato’ Abdul Shukur Abdullah berkata, keluarga merupakan unit sosial terpenting yang menentukan kestabilan emosi, kesejahteraan serta kekuatan sesebuah masyarakat dan bangsa.

“Masa berkualiti antara ahli keluarga adalah asas kepada kesejahteraan emosi dan keharmonian rumah tangga.

“Kajian menunjukkan bahawa keluarga yang meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit hingga satu jam sehari bersama-sama akan memiliki tahap tekanan yang lebih rendah serta hubungan yang lebih rapat dan bahagia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Program KASIH Keluarga dan Kick Off Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 sempena Santubong Day yang diadakan di Dataran Astaka Lagenda, Kampung Santubong, pada Ahad.

Menurut Dato’ Abdul Shukur, anak-anak yang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa akan membesar dengan lebih berdisiplin, berkeyakinan diri dan cemerlang dalam pelajaran.

Oleh itu, katanya, pelaburan masa bersama keluarga merupakan pelaburan terbaik dalam membina generasi yang berakhlak mulia dan berdaya tahan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program selama dua hari tersebut, termasuk agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, badan korporat dan komuniti setempat yang berganding bahu memastikan kejayaan penganjuran.

Katanya, program KASIH Keluarga bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu platform penting untuk menghidupkan semula nilai-nilai utama kekeluargaan seperti kasih sayang, akhlak mulia, kesihatan, ilmu pengetahuan dan keharmonian.

Sepanjang dua hari program berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan antaranya pertandingan mewarna, pertandingan sambal warisan, malam kesenian bermukun dan nopeng, serta aktiviti advokasi berkaitan perlindungan kanak-kanak, kesihatan keluarga dan penyertaan golongan kurang upaya dalam sukan rakyat.-EDISI UKAS