KUCHING: Program Senamrobik dan Fun Walk KASIH Keluarga Santubong berlangsung meriah di Kampung Santubong sebagai sebahagian daripada pengisian Program KASIH Keluarga dan pelancaran Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2025.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato’ Sri Nancy Shukri yang diadakan di Dataran Astaka Lagenda, Kampung Santubong, di sini, pada Ahad.
Program berkonsepkan santai kekeluargaan itu menarik penyertaan ramai penduduk setempat yang hadir bagi menyertai pelbagai aktiviti menarik sepanjang hari.
Antara pengisian utama ialah senamrobik yang dikendalikan oleh instruktor bertauliah dan Fun Walk KASIH Keluarga Santubong yang bermula di khemah utama dan menyusuri laluan sekitar kampung bagi memupuk gaya hidup sihat serta memperkukuh semangat kekeluargaan dan kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Turut memeriahkan program ialah Pertandingan Mewarna “Saya Sayang Keluarga”, Pertandingan Sambal Warisan Keluarga: Dari Jala ke Dapur, Pertandingan Bola Tampar Pantai, Pameran Perahu Nelayan Berhias serta Pertandingan Busana Orang Kampung Nelayan yang diadakan di pentas utama.
Selain itu, pelbagai pameran agensi kerajaan, kanopi pameran dan gerai jualan tempatan turut disediakan, menampilkan hasil kraftangan serta produk komuniti penduduk sekitar.-EDISI UKAS