KOTA SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim menyalurkan peruntukan berjumlah RM100,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Uni Garden 1, bagi mempertingkat aktiviti komuniti dan penyelenggaraan kemudahan awam di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, sumbangan itu bertujuan memastikan KRT Uni Garden terus aktif sebagai platform penyatuan masyarakat berbilang kaum, di samping memperkukuh jaringan sosial serta semangat kejiranan dalam kalangan penduduk taman perumahan.
“Peruntukan ini kita salurkan untuk membantu KRT melaksanakan pelbagai program masyarakat termasuk aktiviti kesukanan, kesihatan dan kemasyarakatan.
“Saya juga akan berbincang dengan pihak Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mengenai penyelenggaraan Padang Uni Central supaya ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk,” katanya semasa merasmikan Program KRT Sihat Hari Sukan Malaysia Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Uni Garden 1 di Padang Uni Central, pada Ahad.
Datuk Hamzah turut menzahirkan penghargaan kepada KRT Uni Garden dan Biro Sukan serta Rekreasi Masjid Al-Malik atas penganjuran program yang berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti sihat dan menyeronokkan.
“Saya tahu bukan mudah untuk mengumpulkan komuniti di kawasan perumahan kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Tetapi dengan semangat kebersamaan seperti ini, kita dapat hidup harmoni dan saling mengenali,” ujarnya.
Program dua hari itu disertai ratusan penduduk dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti riadah serta sukaneka termasuk senamrobik, tarik tali, larian ikat kaki, lumba guni, baling-baling sayang, tiup belon, cari gula dalam tepung, dan pancing botol.
Turut mencuri tumpuan ialah pertandingan bola sepak sembilan sebelah dan timang bola raga sukaneka, yang mendapat sambutan hangat daripada golongan belia sekitar taman.
Turut hadir, Pegawai Perpaduan Bahagian Samarahan Diana Seliman, Ahli Majlis MPKS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Malik Taman Uni Garden Profesor Madya Dr Sopian Bujang dan Pengerusi KRT Taman Uni Garden Ardi Sariie. -EDISI UKAS