Team Komeng dinobatkan 'Raja Laut' Regatta Sebuyau 2025

Posted on 19 Oct 2025
Source of News: UKAS


SEBUYAU: Suasana di tebingan Sungai Sebuyau bergema dengan sorakan ribuan penonton apabila Team Komeng yang menggunakan plat 32 tampil gagah menamatkan
perlumbaan di hadapan sekali gus dinobatkan sebagai ‘Raja Laut’ Regatta Sebuyau 2025.

Acara kemuncak Bidar 30 Pekayuh Lelaki Akhir itu berlangsung penuh sengit dan dramatik, menyaksikan 10 pasukan terbaik berentap mengerah seluruh tenaga dan semangat juang tinggi dalam perebutan gelaran paling berprestij regatta berkenaan.

Sejak kayuhan pertama dilepaskan, arus deras laut Sebuyau benar-benar menguji ketahanan fizikal dan kekuatan mental setiap peserta.

Detik terakhir perlumbaan menyaksikan persaingan sengit antara Team Komeng dan Saga Sebuyau (plat 17) yang berusaha mengejar rapat, namun kecekapan dan kekompakan kayuhan pasukan Komeng memastikan mereka menamatkan perlumbaan dengan kelebihan jelas di garisan penamat.

Kemenangan bergaya itu membolehkan Team Komeng membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta piala kejuaraan, sekaligus menobatkan mereka sebagai ‘Raja Laut’ Regatta Sebuyau 2025.

Naib johan pula menjadi milik Saga Sebuyau yang menggunakan plat 17, menerima RM10,000 berserta piala, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Intan Terpilih menggunakan plat 28, membawa pulang RM5,000 berserta piala.

Sorakan penonton tidak pernah surut sepanjang acara berlangsung, menjadikan suasana Regatta Sebuyau tahun ini antara yang paling meriah dan mendebarkan sejak ia diperkenalkan.

Pelepasan acara dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Beting Maro Dato Razaili Gapor, ADUN Simunjan Awla Dris, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Mohamad Naroden Majais dan Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang. -EDISI UKAS