KUALA TERENGGANU: Kuching City FC (KCFC) terus mempamerkan aksi meyakinkan apabila menundukkan Terengganu FC 4-1 dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada Sabtu.
Kemenangan bergaya di tempat lawan itu meletakkan KCFC di kedudukan selesa menjelang aksi timbal balik di Kuching pada 28 Oktober ini.
Aksi cemerlang KCFC bermula seawal minit ke-9 apabila Ronald Ngah Wanja membuka tirai jaringan selepas menerima hantaran kemas hasil gerakan ‘dummy’ bijak oleh Ahmad Danial Ahmad Asri.
Penyerang import itu sekali lagi mencuri tumpuan pada minit ke-13 apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan KCFC di depan 2-0, kedudukan yang kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Terengganu FC tampil lebih agresif selepas rehat, namun kekentalan benteng pertahanan KCFC berjaya mengekang asakan bertali arus tuan rumah.
Sebaliknya, KCFC terus menambah derita lawan menerusi serangan balas pantas pada minit ke-53, apabila Ahmad Danial Ahmad Asri meledak gol ketiga selepas menerima umpanan cantik daripada Petrus Shitembi.
Pasukan tuan rumah akhirnya memperoleh gol saguhati menerusi sepakan penalti Yan Kevin Marbella pada minit ke-68, hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas bola terkena tangan pemain pertahanan KCFC, Jimmy Raymond.
Namun, malam malang buat Marbella apabila beliau tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-82, selepas cuba mengeluarkan bola sepakan sudut Petrus Shitembi.
Keputusan 4-1 kekal hingga wisel penamat, sekaligus memberi kelebihan besar buat KCFC menjelang pertemuan timbal balik di Bumi Kenyalang. -EDISI UKAS
Gambar: Kuching City FC