Sinar Untuk Mangsa Kebakaran Di Serian

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Mangsa kebakaran di Serian, Gabriel Jee boleh menarik senyuman lebar setelah menerima rumah baharu yang siap dibina bagi menggantikan rumahnya yang musnah dalam insiden kebakaran pada Disember 2022. 

Sehubungan dengan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada telah hadir bagi menyerahkan sendiri kunci rumah berkenaan kepada mangsa.

Pada 1 November tahun lalu, Dr Simon telah mengadakan lawatan ke tapak rumah tersebut bagi memaklumkan kepada mangsa berkenaan mengenai kelulusan untuk membina rumah baru mereka di bawah peruntukan khas daripada Kerajaan Sarawak di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melalui Pejabat Residen Bahagian Serian.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan kos pembinaan rumah ini adalah RM80,000 di mana RM70,000 daripada JPBNS manakala dana tambahan sebanyak RM10,000 merupakan bantuan daripada Dr Simon sendiri bagi memastikan proses pembinaan rumah tersebut berjalan lancar mengikut tempoh yang ditetapkan.

Gabriel bersama isteri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, wakil rakyat serta orang ramai yang tidak putus menyampaikan bantuan kepada mereka sekeluarga.

Turut hadir Pegawai Daerah Serian Inting Nami, wakil Residen Bahagian Serian Wee Chung Yee, wakil Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian, wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Serian dan Pemanca Jacques Kantuh. -EDISI UKAS