
KUCHING: Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) bersedia memberi sokongan terhadap usaha membangun dan memperkenalkan produk warisan Bumi Kenyalang untuk pasaran di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Azman Tambi Chik berkata, CENTEXS Commersial Sarawak memiliki banyak produk warisan yang menarik dan berpotensi diketengahkan ke pasaran meluas.
"Saya mengambil kesempatan di sini untuk bekerjasama dengan CENTEXS Sarawak kerana barangan ini adalah barangan tradisional. Kita harus memperkenalkan produk ini ke pasaran yang lebih besar.
"Dan begitulah kita melihat bahawa CENTEXS mempunyai kepakaran dan juga kebaikan di situ."
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas sidang media sempena MoU CENTEXS Commercial dan Biro Konvensyen Dan Pameran Malaysia (MyCEB) bertempat di Juma'ani Pavillion di Kuching pada Rabu.
Dalam pada itu, Pengurus Besar CENTEXS Commercial Mohamad Shahren Mohamad Yusri mengatakan usaha membangunkan produk warisan Sarawak ini secara tidak langsung akan turut membantu menjana pendapatan usahawan produk warisan di Sarawak terutamanya.
“Dengan kerjasama dijalinkan bersama pihak berkenaan, kita berharap pemasaran produk warisan yang dibangunkan dapat diperluas hingga ke Semenanjung Malaysia.
“Bagi saya, ini adalah satu inisiatif yang amat dihargai oleh rakyat Sarawak kerana dengan adanya platform seperti ini, ia mampu membuka peluang besar buat anda semua.
“Saya juga menyeru kepada usahawan Sarawak untuk menggunakan peluang ini, inilah masanya untuk kita membangunkan produk kita, dengan kerjasama ini kita boleh pergi jauh untuk mempromosikan apa produk istimewa yang boleh dibawa oleh Sarawak ke pasaran luar," katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu CENTEXS turut mengembangkan produk warisannya di sembilan lapangan terbang termasuk Kuching, Kota Kinabalu, Langkawi, Pulau Pinang, KLIA1 dan KLIA2.
“Sepanjang kita menjual produk warisan, ini adalah kali pertama kita dapat terus bersama Malaysia Airport Berhad (MAB), di mana kita boleh mempromosikan secara terus kepada pelancong,” tambah beliau.
Hadir sama Pemangku Pengarah MATRADE Wilayah Sarawak Aidatul Marina Abdul Ghani, Pengarah Komunikasi Strategik MyCEB Norhafizah Mohd Nor, Government Liaison Manager Mohamad Syazwan Osman dan delegasi Business Event Sarawak. -EDISI UKAS