KUCHING: Kajian menaik taraf Mahkamah Adat Bumiputera oleh Kerajaan Sarawak kini berada pada peringkat akhir, sebagai langkah memperkukuh sistem keadilan berteraskan adat dan budaya tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, jawatankuasa berkenaan kini sedang meneliti beberapa perkara yang masih perlu diperhalusi sebelum pelaksanaan penuh usaha menaik taraf mahkamah tersebut.
“Apa yang penting adalah ada pembaharuan mengikut lunas undang-undang dan kita juga membuat kajian seperti undang-undang di New Zealand dan juga Kanada di mana kita telah menghantar mereka untuk membuat kerangka undang-undang yang sejajar dengan apa yang dilihat di negara-negara tersebut dan ia hendaklah diperhalusi sebelum dilaksanakan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ke-6 Parti Rakyat Sarawak (PRS), di sini, pada Sabtu.
Terdahulu semasa berucap pada majlis yang sama, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan bahawa usaha menaik taraf Mahkamah Adat Bumiputera bertujuan memastikan isu berkaitan tanah adat (NCR) dapat diselesaikan berasaskan prinsip dan perundangan adat, bukan semata-mata menurut undang-undang sivil.
“Kadang-kadang isu NCR diadili mengikut undang-undang sivil dan keputusan yang dibuat tidak semestinya selari dengan prinsip adat kita kerana penggunaan undang-undang sivil.
“Justeru, masalah bumiputera sepatutnya dapat diselesaikan di kalangan bumiputera itu sendiri melalui pendekatan yang teratur, supaya tiada masalah timbul dalam kalangan bumiputera atau komuniti Dayak,” jelas beliau.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Gambar: Ibanez Jeffery