KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) mencadangkan agar lebih banyak kawasan pilihan raya baharu diwujudkan di luar bandar, khususnya di kawasan majoriti masyarakat Dayak bagi memastikan penyampaian pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Presiden PRS Dato Sri Joseph Salang Gandum berkata, cadangan tersebut juga bertujuan mewujudkan perwakilan politik yang lebih seimbang antara kaum dan kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Kami mencadangkan untuk mewujudkan lebih banyak kawasan pilihan raya Dayak luar bandar yang lebih kecil bagi memudahkan penyampaian projek dan penyebaran idea yang lebih lancar yang boleh membantu perjuangan kami mengurangkan kadar kemiskinan.
“PRS seperti parti komponen yang lain mecari perwakilan etnik yang lebih seimbang dalam Dewan Undangan Negeri. Kita tidak boleh menyerahkan proses persempadanan kawasan pilihan raya sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ke-6 PRS yang disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Sabtu.
Dato Sri Joseph menambah, penglibatan secara langsung Premier Sarawak dalam menangani isu itu akan menjadi satu legasi besar dalam sejarah pembangunan politik negeri ini.-EDISI UKAS
Disediakan: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang