KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal membangunkan jalan baharu sepanjang 300 kilometer (km) dari Marudi hingga ke Long Terawan dan seterusnya ke Mulu, sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan jalan raya di kawasan utara wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek itu juga akan menghubungkan kawasan utara negeri termasuk Lawas dan Limbang.
“Ia akan bermula tahun depan dan dijangka mengambil masa lebih kurang empat hingga lima tahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ke-6 Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, projek tersebut bukan sahaja memudahkan akses penduduk luar bandar, malah menjadi pemangkin bagi pembangunan kawasan tersebut dalam ekonomi baru.
Turut hadir ke majlis perasmian ini ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS