KUCHING: Kerajaan negeri akan mempercepat usaha pembinaan semula Rumah Bidayuh yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini di Kampung Budaya Sarawak bagi memastikan warisan budaya tersebut dapat dipulihkan semula.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke kabinet bagi mendapatkan kelulusan dan pembiayaan khas bagi membina semula struktur berkenaan.
“Saya sendiri akan bawa perkara ini ke Kabinet kerana taman budaya ini ataupun kampung budaya ini terletak di bawah SEDC,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat lawatan ke Rumah Panjang Bidayuh yang terbakar di Kampung Budaya Sarawak, pada Sabtu.
Menurutnya, beliau mengambil maklum mengenai kejadian itu dan mahu memastikan agar kerosakan yang berlaku dapat diperbaiki serta dibina semula dalam masa terdekat.
“ Saya ambil tahu dan mahu melihat agar bencana, kerosakan yang berlaku ini dapat dibaik pulih ataupun dibina semula,”ujarnya.
Beliau menjelaskan, berdasarkan siasatan awal pihak berkuasa, punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas, dan struktur bawah bangunan masih kukuh untuk digunakan dalam proses pembinaan semula.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerja-kerja pembinaan semula akan diusahakan dengan segera memandangkan Tahun Melawat Malaysia bakal berlangsung pada tahun hadapan.
“Saya akan kata secepat mungkin, lebih-lebih lagi kerana tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia.”
“Kalau kita dapat siapkan dalam setahun lebih sedikit, kita akan usahakan seperti itu,”jelasnya.
Sementara itu, Dato Sri Abdul Karim turut memaklumkan bahawa Kampung Budaya Sarawak masih beroperasi seperti biasa, dengan kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa yang terus mengunjungi destinasi pelancongan ikonik berkenaan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee