Sarawak, ‘Permata Tersembunyi’ Borneo Yang Lestari

Disiarkan pada 18 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SINGAPURA: Sarawak Mega Fair 2025 mengetengahkan keunikan Bumi Kenyalang sebagai ‘permata tersembunyi’ dalam pelancongan yang mengutamakan kelestarian, warisan budaya, serta kesejahteraan masyarakat pribumi.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, masa depan pelancongan perlu berasaskan pembangunan lestari yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah memelihara alam sekitar dan memperkasa komuniti setempat.

“Sarawak yang terletak di pulau Borneo dan merangkumi 12.4 juta hektar hutan hujan tropika adalah rumah kepada 34 kumpulan etnik dengan warisan budaya berusia berabad-abad, sejajar dengan ekosistem biodiversiti yang kaya.

“Ia merupakan 'permata tersembunyi' yang menanti untuk diterokai dunia dengan penuh hormat dan tanggungjawab. Kelestarian bukan sekadar pilihan bagi Sarawak, sebaliknya ia menjadi asas kepada ekonomi dan masyarakat kami,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Persidangan Perniagaan Sarawak Mega Fair 2025 bertajuk ‘Sustainable Tourism in Sarawak: Balancing Growth and Conservation’ di Pusat Persidangan dan Pameran Suntec di sini pada Jumaat.

Dalam ucapan sama, Dato' Sri Abdul Karim turut berkongsi bagaimana komuniti pribumi Sarawak telah lama mengamalkan kehidupan harmoni bersama alam sekitar melalui tradisi dan ilmu nenek moyang, jauh sebelum kelestarian menjadi agenda global.

Menurut beliau, amalan tersebut menjadikan Sarawak destinasi pelancongan yang autentik dan bertanggungjawab, khususnya untuk pelancong yang mencari pengalaman bermakna dan menyeluruh.

Selain itu ujarnya, Sarawak juga telah menunjukkan pemulihan kuat selepas pandemik COVID-19 pada 2024, dengan mencatat ketibaan pelancong sebanyak 4.83 juta, melebihi tahap sebelum pandemik, dan menjana hasil pelancongan sebanyak RM12.45 bilion, iaitu peningkatan RM2.47 bilion berbanding tahun sebelumnya.

"Sehingga Ogos tahun ini sahaja, seramai 3.2 juta pelancong telah melawat Sarawak dengan hasil RM8.2 bilion,"jelasnya lanjut.

Tambah Dato Sri Abdul Karim lagi, pendekatan Sarawak bukan berasaskan bilangan pelancong semata-mata, tetapi lebih kepada menarik pelancong yang memberi impak positif serta menghargai keunikan alam dan budaya setempat.

"Kami mengalu-alukan pelancong yang mencari pengalaman mendalam, menginap lebin lama, dan secara langsung menyumbang kepada kesejahteraan komuniti luar bandar dan pribumi,"katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengerusi Lembaga Pengarah STATOS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) Chew Chang Guan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Hussaini serta kenamaan lain.

Sarawak Mega Fair 2025 yang menggabungkan konvensyen, karnival serta gastronomi Sarawak dari 16 hingga 19 Oktober 2025 mengundang pegawai kerajaan, pelabur dan pihak berkepentingan industri untuk membina kerjasama baharu, mempromosikan pembangunan lestari dan meneroka potensi tersembunyi Sarawak.

Lebih 50 peserta pameran, termasuk ejen pelancongan, pengusaha produk tempatan, pembuat kraftangan dan penggemar kulinari tradisional mempamerkan keunikan ekopelancongan, warisan budaya, serta pengalaman autentik yang hanya boleh ditemui di Sarawak.-EDISI UKAS

Disediakan: Leya Ameera Annuar Rigos
Foto: Muhammad Rais Sanusi