SIBU: Pesta Pertengahan Musim Luruh memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap ADUN Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, perayaan ini penting sebagai medium untuk ibu bapa meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.
“Dalam dunia digital masa kini, ramai ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehingga hubungan dengan anak-anak menjadi renggang.
“Anak-anak pula banyak bergantung kepada peranti digital, internet dan media sosial.
“Program seperti ini membolehkan mereka berinteraksi secara langsung, bergembira dan menikmati masa bersama,”katanya ketika majlis perasmian pesta berkenaan di Heng Hua Memorial Park, pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan bahawa perayaan berkenaan melambangkan penyatuan keluarga bagi masyarakat Cina, bulan penuh sebagai simbol kesempurnaan dan kebersamaan.
“Dalam era digital, tiada apa yang dapat menggantikan detik berharga apabila ibu bapa dan anak-anak berhubung secara langsung melalui aktiviti bersama,” tambah beliau.-EDISI UKAS