SEBUYAU: Kumpulan Lenggok Warisan, gabungan Kampung Tambirat dan Kampung Kanchong Gedong, dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Tandak Melayu Lamak sempena Regatta Sebuyau 2025 selepas memukau juri dengan persembahan bertenaga, tersusun, dan mengekalkan keaslian gerak tari tradisional Melayu lama.
Persembahan mereka menonjolkan kekemasan langkah, keseragaman rentak serta busana klasik Melayu yang mencerminkan kehalusan seni warisan sekaligus membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta piala.
Naib johan dimenangi Kumpulan Alun Tradisi dari Kampung Moyan Laut, yang menampilkan persembahan lemah gemalai namun sarat nilai budaya, menerima RM800 dan piala.
Tempat ketiga pula disandang Kumpulan Khazanah Warisan, gabungan Kampung Serpan dan Kampung Sungai Mata, membawa pulang RM600 beserta piala.
Pertandingan yang berlangsung meriah di Dewan Pembangunan Sebuyau itu menyaksikan 15 kumpulan bertanding, dengan penyertaan dari Beladin, Spaoh, Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Kuching, Gedong, dan Sebuyau sendiri.
Semua peserta mempertaruhkan kreativiti dan kebolehan masing-masing dalam seni tari Melayu tradisional, dengan setiap kumpulan menonjolkan keanggunan gerak tari diiringi pukulan gendang serta busana lama yang memukau.
Pertandingan ini bukan sahaja mengangkat martabat tandak Melayu lamak sebagai warisan seni yang wajar dipertahankan, malah turut memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, diiringi Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sebuyau, Tahir Putih serta Penghulu Masyarakat Melayu Kawasan Sebuyau, Abu Seman Suhaili.
Penganjuran pertandingan ini sekali lagi membuktikan bahawa warisan budaya tradisional terus subur, mendapat tempat di hati masyarakat, dan menjadi sebahagian usaha memelihara identiti budaya Melayu dalam arus pembangunan moden. -EDISI UKAS