BINTULU: Program kem belia bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform penting membentuk jati diri, semangat berdikari dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, penyertaan dalam kem belia memberi peluang kepada peserta untuk menimba pengalaman berharga di luar bilik darjah, sekali gus melatih mereka menghadapi cabaran kehidupan sebenar dengan lebih yakin dan matang.
“Dalam beberapa hari akan datang, anda akan memperoleh sesuatu yang jauh lebih berharga daripada apa yang ditulis dalam mana-mana nota bilik darjah, pelajaran tentang kerja berpasukan, komunikasi, berdikari, menyelesaikan masalah dan memahami satu sama lain.
“Ini adalah kemahiran kehidupan sebenar yang akan membantu anda menjadi lebih kuat dan lebih yakin apabila anda menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Kem Belia Sempena Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 di Dewan Suarah Bintulu pada Jumaat.
Johnny menambah, semangat dan daya tahan yang dibina melalui pengalaman menyertai kem sebegini amat penting dalam membentuk generasi muda yang berani, berdikari dan mampu menjadi pemimpin masa depan.
Program berkenaan disertai seramai 96 pelajar dari lima sekolah sekitar Bintulu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong, SMK Assyakirin, SMK Bandar, SMK Bintulu dan SMK Kemena.
Inisiatif anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MySED) itu bertujuan memupuk semangat berdikari, ketahanan diri, perpaduan dan nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir, Setiausaha Tetap MySED, Morshidi Frederick dan Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Belia, Sukan dan Usahawan MySED, Seroji Ludin.-EDISI UKAS