KOTA SAMARAHAN: Nilai integriti merupakan teras utama dalam membentuk kepimpinan masyarakat yang berwibawa dan berkesan, seiring dengan hasrat kerajaan membina komuniti berintegriti tinggi menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pemimpin komuniti berperanan penting sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat, justeru integriti mesti menjadi teras dalam setiap keputusan dan tindakan.
“KMKK kini bukan hanya pelaksana dasar, tetapi duta integriti yang membawa aspirasi rakyat. Pemimpin perlu berani menegur, bertindak dan memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan telus serta mengikut spesifikasi,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penangguhan Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) Tahap 1 Siri 18 dan Tahap 2 Siri 7 Bil.6/2025 Daerah Samarahan yang diadakan di Dewan Persidangan, Wisma SALCRA pada Jumaat.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu turut menyeru agar pemimpin komuniti cepat menyesuaikan diri dengan perubahan era digital bagi memperkukuh kecekapan penyampaian maklumat dan urus tadbir yang lebih telus.
“Integriti tanpa ilmu akan rapuh, dan ilmu tanpa integriti akan tersasar. Gabungan kedua-duanya melahirkan kepimpinan yang dihormati dan dipercayai rakyat,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata MIKM merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri dalam membudayakan nilai amanah, akauntabiliti dan tadbir urus beretika di peringkat akar umbi.
“MIKM bukan sekadar kursus teori, tetapi gerakan besar untuk memperkukuh kepimpinan komuniti berasaskan integriti,” katanya.
Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Stakan), Datuk Hamzah Brahim, turut menegaskan bahawa integriti adalah ‘jantung’ kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Tanpa integriti, pembangunan tidak akan membawa makna sebenar. Integriti mesti menjadi nadi yang memastikan Sarawak terus maju, makmur dan beretika,” ujar beliau.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, wakil Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Wan Hipni Wan Mohamad, Ketua Pegawai Sektor Operasi Institut Integriti Malaysia (IIM) Harisham Ibrahim, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak dan serta Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Samarahan Seli Hassan. -EDISI UKAS