Jalan Baharu SJK(C) Chung Hua Siburan Tingkat Keselamatan & Kesejahteraan Warga Sekolah

Disiarkan pada 17 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBURAN: Jalan baharu ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chung Hua di sini merupakan satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, pembinaan jalan baharu ini amat penting kerana jalan utama di hadapan sekolah, iaitu Jalan Pan Borneo Highway, merupakan antara laluan paling sibuk dan berisiko tinggi.

“Jalan baharu ini bukan sekadar infrastruktur fizikal, tetapi simbol keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian jalan tersebut, di sini, pada Jumaat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu, kejayaan pembinaan jalan berkenaan adalah hasil usaha sama pelbagai pihak termasuklah Majlis Perbandaran Serian, Jabatan Tanah dan Ukur, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan para penderma tempatan.

“Kerjasama erat antara komuniti dan kerajaan membuktikan bahawa pembangunan tempatan boleh dicapai dengan semangat kebersamaan,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, dengan siapnya projek ini, SJK (C) Chung Hua Siburan kini menikmati akses yang lebih selamat dan tersusun, selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Turut hadir Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari, Pengerusi Lembaga Pengurus SJK (C) Chung Hua Siburan Phang Nam Fatt, Guru Besar SJK (C) Chung Hua Siburan Wong Siew Peng, Ketua Balai Polis Daerah Siburan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dan Setiausaha Majlis Daerah Siburan Hiu Kee Seng. -EDISI UKAS