KUCHING: Kejayaan Sarawak memperoleh pengiktirafan antarabangsa daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) membuktikan keupayaan negeri ini dalam mengurus dan memelihara khazanah alam sekitar secara bijaksana serta berasaskan prinsip kelestarian.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, menzahirkan penghargaan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan semua pihak terlibat atas kejayaan bersejarah itu yang meletakkan nama Sarawak di peta dunia.
“Ia menggambarkan kita telah dapat mengurus alam sekitar kita, bumi kita dengan bijaksana, hasil kejayaan yang dicapai ini.
“Ia juga mencerminkan bahawa Sarawak ialah wilayah yang bukan sahaja berkata, tetapi melaksanakan tindakan dengan sepenuh hati,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di sini pada Jumaat.
Menurut Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, pengiktirafan Gua Niah sebagai tapak UNESCO bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan, tetapi juga menjadikan kawasan itu sebagai pusat kajian arkeologi bertaraf dunia, memandangkan penemuan sejarah manusia purba di tapak berkenaan amat signifikan kepada evolusi peradaban manusia di rantau ini.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, pengiktirafan terhadap Sarawak Delta Geopark turut memperkukuh reputasi negeri sebagai peneraju dalam pembangunan mampan, dengan kawasan berkenaan kini sedang dalam proses menuju status UNESCO Global Geopark.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh serta Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran.-EDISI UKAS
Disediakan: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie