Sarawak–Singapura Jalin Kerjasama Didik Generasi Muda Tentang Alam Semula Jadi

Disiarkan pada 17 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak dan Singapura bersetuju untuk mewujudkan satu bentuk kerjasama baharu yang memberi tumpuan kepada pendidikan alam sekitar dalam kalangan generasi muda, khususnya melalui program pertukaran pelajar sekolah rendah dan menengah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkara itu dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong dalam pertemuan mereka pada Khamis.

Beliau berkata, cadangan itu timbul berikutan Singapura tidak mempunyai kawasan hutan semula jadi, sekali gus menyebabkan ramai anak muda di republik tersebut tidak pernah melihat hidupan liar secara langsung.

“Pagi Jumaat saya bersama Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong, dan beliau mencadangkan agar kita mempunyai hubungan yang erat bagi memberikan satu kaedah kepada generasi muda untuk mengenali hutan serta habitat semula jadi.

“Kita tahu Singapura tidak mempunyai hutan, dan ramai anak muda di sana tidak pernah melihat ayam secara langsung dan hidupan liar secara dekat.

“Jadi, beliau dan saya bersetuju supaya pelajar sekolah rendah dan menengah dari Singapura datang ke Sarawak melalui program pertukaran pelajar bagi mempelajari tentang alam semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Tahunan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di sini, pada Jumaat.

Menurut Premier Sarawak, langkah tersebut bukan sahaja dapat memperkukuh kesedaran dan pengetahuan tentang alam sekitar dalam kalangan pelajar, malah membuka peluang kepada SFC untuk berkongsi kepakaran serta maklumat dengan guru dan pelajar dari Singapura.

Katanya, inisiatif itu bukan sahaja untuk pelajar Singapura, malah turut melibatkan pelajar ekspatriat di republik berkenaan.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut mengambil peluang dengan mencadangkan agar Singapura memberikan lebih banyak hak pendaratan penerbangan ke Sarawak melalui syarikat penerbangan AirBorneo bagi memudahkan pelaksanaan program berkenaan.

Premier Sarawak yakin inisiatif itu mampu menjadi contoh kepada kerjasama serantau lain dalam bidang pendidikan alam sekitar dan pelancongan lestari, selaras dengan komitmen Sarawak terhadap pembangunan hijau dan kelestarian alam.

Turut hadir semasa majlis ini ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Len Talif Salleh dan Pengurus Besar SFC Abang Arabi Abang Aimran.-EDISI UKAS

Disediakan: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie