LUNDU: Penduduk di tiga kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar kini menikmati kemudahan baharu hasil pelaksanaan tiga projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang siap sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi dalam Sesi Serah Projek Siap RTP anjuran Majlis Daerah Bau (MDB).
Projek-projek berkenaan ialah projek bina baru tempat menunggu berbumbung bagi menurunkan pelajar di SK St Teresa Stenggang, projek bina baru lorong pejalan kaki menuju ke Gereja Kampung Rumih serta projek membina parit dari balai raya ke Sungai Gronong Kampung Opar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, projek-projek berskala kecil tetapi berimpak besar ini penting untuk meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat luar bandar.
“Projek ini bukan sahaja menambah keselesaan penduduk, malah memperkukuh kemudahan asas di kawasan perkampungan,” katanya ketika menyempurnakan majlis berkenaan, pada Jumaat.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Majlis Daerah Bau dan Ketua Masyarakat serta Ketua Kaum (KMKK) yang memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut keperluan sebenar komuniti.
Kesemua projek ini dilaksanakan dengan kos keseluruhan RM180,000 di bawah dana RTP DUN Opar bagi tahun 2025.
Dengan siapnya ketiga-tiga projek tersebut, penduduk Kampung Stenggang, Kampung Rumih dan Kampung Opar kini menikmati kemudahan yang lebih baik, sejajar dengan usaha kerajaan negeri memperkasa pembangunan luar bandar di Sarawak.-EDISI UKAS