Projek Naik Taraf Jalan Pertanian Tingkatkan Infrastruktur Asas Di Opar

Disiarkan pada 17 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Dua projek naik taraf jalan pertanian dilaksanakan bagi memperkukuh kemudahan infrastruktur luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak.

Majlis Sesi Serah Tapak Projek RTP DUN Opar telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang di Kampung Temaga Melayu dan Kampung Jugan, pada Jumaat.

Menurut beliau, pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur asas luar bandar selaras dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, bagi memastikan rakyat luar bandar turut menikmati kemudahan yang selesa dan selamat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak JPS serta agensi pelaksana atas usaha memastikan setiap projek rakyat dapat disiapkan dengan cekap dan berimpak tinggi kepada komuniti setempat.

Projek pertama melibatkan Naik Taraf Jalan Pertanian di Kampung Temaga Melayu sepanjang 584 meter dengan kos RM200,000, manakala projek kedua di Kawasan Gitiek, Kampung Jugan melibatkan jalan sepanjang 130 meter dengan kos RM100,000.

Pelaksanaan kedua-dua projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk tempatan, khususnya para petani yang bergantung kepada kegiatan pertanian sebagai sumber utama pendapatan.

Projek berkenaan bakal berperanan meningkatkan kemudahan pengangkutan hasil pertanian dan memudahkan akses ke kawasan kebun serta sawah.-EDISI UKAS