SONG: Usaha membendung penularan penyakit rabies di kawasan Song terus diperkukuh melalui penganjuran Program Komuniti Bebas Rabies yang diadakan di pekarangan Pejabat Majlis Daerah Kapit, Cawangan Song pada Jumaat.
Melalui program ini, pelbagai perkhidmatan disediakan termasuk suntikan vaksin rabies secara percuma, perlesenan anjing, pemasangan mikrocip untuk tujuan pengesanan serta sesi pendidikan komuniti berkaitan bahaya rabies dan langkah pencegahannya.
Meskipun cuaca hujan lebat, program tetap mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang hadir membawa anjing peliharaan mereka bagi mendapatkan suntikan vaksin.
Komitmen ini mencerminkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap kepentingan penjagaan haiwan peliharaan dan keselamatan komuniti.
Program anjuran bersama Majlis Daerah Kapit, Jabatan Veterinar Bahagian Kapit dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Kapit berkenaan merupakan inisiatif berterusan kerajaan untuk mewujudkan komuniti luar bandar bebas rabies secara menyeluruh.
Ia turut disertai pegawai-pegawai Jabatan Veterinar Bahagian Kapit, kakitangan Majlis Daerah Kapit serta petugas kesihatan persekitaran yang melaksanakan proses vaksinasi, microchipping dan perlesenan di tapak program.-EDISI UKAS