SEBUYAU: Pasukan Laksamana Nelayan Rempit mempamerkan kehebatan tersendiri apabila muncul juara bagi kategori Bidar 25 dan Bidar 15 saringan lelaki A sempena Regatta Sebuyau 2025.
Perlumbaan berlangsung pada petang Jumaat itu dimeriahkan lagi dengan sorakan kira-kira 1,000 pengunjung.
Pasukan Saga Sebuyau 1 pula dinobatkan sebagai johan bagi kategori Bidar 20, manakala Puteri Khalifah 7 menjuarai kategori Bidar 10.
Manakala Pasukan Intan Terpilih pula menampilkan prestasi cemerlang apabila meraih tempat kedua dalam beberapa kategori utama.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Sebuyau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Regatta Sebuyau, Ayuradiman Bujang di muara Sungai Sebuyau.
Dalam ucapan ringkas, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan yang bertanding serta menyeru agar semangat kesukanan dan perpaduan masyarakat terus dipupuk.
Regatta Sebuyau 2025 diteruskan pada tahun ini sebagai aktiviti tradisi tahunan yang menyemarakkan semangat kesukanan dan perpaduan komuniti.
Selain mengukuhkan perpaduan antara komuniti di Sebuyau, acara ini turut mempromosikan sukan air atau regatta yang diwarisi sejak turun-temurun. –EDISI UKAS