SARIKEI: Tiga projek utama di bawah Majlis Daerah Sarikei (MDS) iaitu Medan Selera Sarikei, Pasar Sungai Rejang dan Tapak MyKiosk di Taman Susur Jambu telah siap dinaik taraf bagi meningkatkan keselesaan dan menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.
Dalam sidang media yang diadakan di Dewan Mesyuarat Tingkat 3 MDS, pada Jumaat, MDS memaklumkan bahawa lawatan pemeriksaan akhir bagi ketiga-tiga projek tersebut telah dijalankan pada 13 Oktober lalu bersama Ahli Majlis dan pegawai MDS.
Medan Selera Sarikei kini tampil lebih moden dan mesra pengguna dengan penambahan laluan ramp OKU, pemasangan 128 unit meja dan kerusi baharu, lampu LED serta kerja mengecat semula bangunan yang dihiasi mural bertemakan warisan dan tradisi masyarakat tempatan.
Selain itu, tapak MyKiosk di Taman Susur Jambu turut dinaiktaraf dengan bumbung baharu yang menempatkan 30 unit MyKiosk Fasa 1 memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.
Bagi Pasar Sungai Rejang pula, kerja menaik taraf melibatkan penyediaan 20 pembahagi lot ruang penjaja, pendawaian semula serta pemasangan lampu LED untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kemudahan perniagaan.
MDS berharap usaha ini dapat memperindah wajah bandar Sarikei, merancakkan ekonomi setempat serta menarik lebih ramai pengunjung, di samping menyeru masyarakat agar bersama-sama menjaga kebersihan dan memelihara kemudahan awam yang disediakan.-EDISI UKAS