MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) perlu mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah longkang tersumbat di kawasan perumahan Desa Senadin yang berisiko mengalami banjir kilat menjelang musim hujan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata masalah air bertakung dan aliran tidak lancar di beberapa longkang utama telah lama berlarutan dan perlu diberi perhatian serius.
“Saya sudah arahkan pihak majlis untuk meneliti di mana bahagian aliran air tersekat.
“Jangan hanya bersihkan bahagian dalam longkang, tetapi juga pintu keluar air (outlet) dihujungnya,” katanya semasa meninjau keadaan sistem saliran di Desa Senadin Fasa 8, di sini, pada Jumaat.
Dato Sri Lee menambah, bahagian kejuruteraan MBM yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan perparitan juga diminta turun padang bagi melihat sendiri keadaan sebenar dan memastikan kerja pembersihan dilakukan secara menyeluruh, termasuk di parit kecil tepi jalan dan sekitar kawasan perumahan.
“Kita sudah masuk musim hujan. Jika tidak ditangani segera, kawasan ini boleh menjadi punca utama kepada masalah banjir setempat,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di bahagian utama seperti kolam takungan air dan longkang besar, namun aliran di kawasan perumahan masih perlu diselenggara oleh pihak majlis.
“DID sudah bersihkan kolam dan saluran utama, termasuk kawasan jambatan dan tasik buatan. Tapi jika longkang kecil di tepi jalan masih tersumbat, air tetap tidak dapat mengalir keluar,” ujarnya.
Dato’ Sri Lee turut menekankan bahawa keadaan jalan raya di kawasan berisiko banjir juga perlu diberi perhatian kerana kerosakan sering berlaku akibat air bertakung dalam tempoh yang lama.
Beliau menegaskan, penyelesaian secara menyeluruh perlu dilaksanakan segera bagi memastikan aliran air lancar dan mengelak kejadian banjir berulang pada masa akan datang.
Turut serta, Kaunselor Leslie Lau Ik Chie, Kaunselor Hiung Chien Yih dan Kaunselor Toh Kah Shiong.-EDISI UKAS