JKR Sarawak Raih Pengiktirafan Di Bentley’s 2025 Going Digital Awards

Disiarkan pada 17 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


AMSTERDAM: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengharumkan nama Bumi Kenyalang di pentas global apabila projek Sarawak Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) meraih Anugerah Going Digital 2025 dalam kategori Jalan Raya dan Lebuh Raya semasa majlis anjuran Bentley Systems di Amsterdam, Belanda pada Khamis.

Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris menerima anugerah tersebut selepas membentangkan kepada panel antarabangsa mengenai pendekatan inovasi digital yang digunakan dalam penyampaian dan prestasi aset projek SSLR2.

Datu Dr Cassidy menzahirkan rasa bangga kerana berpeluang mempersembahkan usaha dan inovasi digital yang diterapkan oleh JKR Sarawak dalam penyampaian projek infrastruktur mampan.

"Kami berbangga untuk mempamerkan inovasi digital yang digunakan dalam penyampaian projek yang mampan bagi infrastruktur.

“Khususnya untuk projek SSLR2, sifat projek dan persekitaran di kawasan berbukit di utara Sarawak memerlukan penyampaian projek yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Beliau turut menjelaskan bahawa JKR Sarawak menekankan kepada para hakim mengenai pelaksanaan pendigitalan secara komprehensif, penggunaan aplikasi inovatif dengan hasil yang mampan.

“Selain projek SSLR2, JKR Sarawak memainkan peranan besar dalam meningkatkan penanda aras penyampaian projek infrastruktur mampan melalui peneraju dalam dasar dan pelaksanaan bagi projek di Sarawak, dan Malaysia,” tambahnya.

JKR Sarawak menewaskan dua finalis lain dalam kategori yang sama iaitu Arcadis (Australia) untuk Warringah Freeway Upgrade dan PowerChina ZhongNan Engineering Corporation Ltd. (China) untuk Ecological Highway from Detian Transnational Waterfall to Shuolong Border.

Hampir 250 pencalonan daripada 47 negara diterima untuk Anugerah Going Digital 2025 yang dianjurkan oleh Bentley Systems, sebuah syarikat kejuruteraan infrastruktur global terkemuka.

Finalis bagi 12 kategori dipilih oleh panel pakar industri antarabangsa bebas.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf projek infrastruktur yang luar biasa serta pencapaian organisasi yang berjaya memanfaatkan inovasi digital bagi meningkatkan kecekapan dan kelestarian dalam pembangunan infrastruktur.-EDISI UKAS

Foto: JKR