Pesta Debak 2025 Bakal Kembali Disember Ini

Disiarkan pada 17 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


DEBAK: Acara ikonik, Pesta Debak 2025 dijangka kembali pada bulan Disember ini dengan pelbagai pengisian menarik merangkumi aktiviti kebudayaan, sukan, ekonomi dan hiburan rakyat bagi menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan Saribas.

Mesyuarat pertama penyelarasan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat DUN Saribas, pada Jumaat.

Menurut beliau, pesta berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum, malah turut memperkukuh potensi pelancongan serta menjana ekonomi tempatan.

Beliau turut menyeru semua pihak yang terlibat agar berganding bahu memastikan kelancaran penganjuran Pesta Debak 2025, yang menjadi antara acara tahunan paling dinanti-nantikan oleh penduduk Saribas dan kawasan sekitarnya.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Debak Mohd Khairurani Mohd Ibrahim, Temenggong Melayu Masyarakat Betong Piee Alwi, Penghulu Masyarakat Iban Debak Kadam Ot, Penghulu Masyarakat Melayu Kampung Debak Abang Kifrawi Abang Rukaili, Penghulu Masyarakat Cina Debak Ong Beng Chai serta barisan ketua kaum dari Daerah Kecil Debak.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah ahli jawatankuasa tetap penganjur yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat tempatan.-EDISI UKAS