Kebersihan Taman & Persekitaran Penting Elakkan Penyebaran Penyakit

Disiarkan pada 17 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN: Kebersihan taman dan kawasan persekitaran amat penting dalam usaha sama bagi mengelakkan berlakunya penyebaran penyakit, tegas Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis.

Beliau berkata, usaha Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) yang bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menganjurkan aktiviti gotong-royong menjadi bukti komitmen MDSA dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan awam.

Katanya, kerja-kerja memotong pokok, membersihkan kawasan setempat dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk berkesan bagi memastikan persekitaran kampung kekal bersih dan ceria.

Program yang dijalankan pada Khamis itu turut disertai Kapitan Kang Tai Hing, Ahli Majlis MDSA, Balean Suji Inggol dan Micheal Pillov Lachen.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu turut memaklumkan bahawa projek menaik taraf parit dan pembentung dari Kampung Bestari Pasir Panas ke Batang Lupar akan diteruskan melalui peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM500,000 bagi memperbaiki sistem perparitan serta infrastruktur berkaitan.

Selain itu, isu paip lama berkarat di Lorong 2, Taman Kurniawan juga telah diambil tindakan dengan kerja-kerja pembaikan selesai dijalankan.

Tambah beliau, tempat letak kereta dan pangkalan penghulu turut dinaik taraf bagi kemudahan penduduk setempat.

Sehubungan itu, beliau berharap MDSA akan terus bekerjasama dengan penduduk setempat dalam usaha menjaga kemudahan sedia ada serta kebersihan di kawasan Sri Aman. -EDISI UKAS