Program Ceramah Perdana Perkukuh Ukhuwah & Kefahaman Islam

Posted on 17 Oct 2025
Source of News: UKAS


DARO: Program Ceramah Perdana bertemakan “Umat Akhir Zaman: Tunjukkan Ku Jalan yang Lurus” yang diadakan di Kompleks Sukan Daro pada Khamis berjaya memperkukuh ukhuwah Islamiah dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam.

Program anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Daro dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Islam Daro itu menampilkan pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad (UAS) sebagai penceramah jemputan.

Dalam ceramahnya, Ustaz Abdul Somad menekankan kepentingan memperkukuh keimanan, istiqamah dalam beribadah, serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan utama dalam kehidupan seharian

Beliau turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa bersatu, mengelak perpecahan, dan memperbanyakkan amal soleh sebagai bekalan menghadapi akhir zaman.

Majlis dimulakan seawal jam 6.30 petang dengan solat Maghrib dan Isya’ berjemaah, diikuti bacaan Surah Yasin serta selawat qasidah yang menghidupkan suasana kerohanian dalam kalangan jemaah.

Walaupun hujan turun, semangat dan kesungguhan orang ramai untuk hadir mendengar tausiah secara langsung tidak pudar.

Kehadiran ribuan pengunjung mencerminkan minat tinggi masyarakat terhadap program keagamaan serta kecintaan mereka terhadap ilmu dan dakwah.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada Ustaz Abdul Somad sebagai tanda penghargaan atas kesudian beliau hadir dan berkongsi ilmu bersama masyarakat setempat.-EDISI UKAS