MIRI: Kemudahan di Lapangan Terbang Miri terus dipertingkat bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna, apabila tiga buah eskalator baharu siap dinaik taraf serta mula beroperasi sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, penggantian eskalator yang melibatkan kos RM810,000 itu amat diperlukan memandangkan kemudahan lama sering mengalami kerosakan sejak beberapa tahun lalu.
“Akhirnya, selepas berusaha untuk mendapatkan kelulusan bagi menggantikan tiga eskalator lama yang kerap rosak, kini semuanya telah diganti dengan yang baharu.
“Eskalator ini telah diperiksa dan diluluskan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk digunakan mulai hari ini,” katanya semasa meninjau kemudahan eskalator baharu di terminal Lapangan Terbang Miri, pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Lee, walaupun kerja penggantian telah siap sebulan lebih awal, penggunaannya hanya dibenarkan selepas DOSH meminta penambahbaikan aspek keselamatan dilakukan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Tiga eskalator baharu tersebut dilengkapi dengan ciri keselamatan moden, termasuk lampu LED di bawah pemegang tangan dan di tepi anak tangga, serta lampu LED hijau dan merah di pintu masuk dan keluar bagi menunjukkan arah pergerakan menaik dan menurun.
Dalam perkembangan lain, Dato Sri Lee semasa meninjau kerja menaik taraf empat set tandas awam di terminal lapangan terbang, memohon pengguna bersabar sementara kerja penambahbaikan giat dijalankan, yang mana ia dijangka siap menjelang akhir November 2025.
“Kerja-kerja penambahbaikan tandas ini akan memberi keselesaan lebih baik kepada pengguna apabila siap nanti,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa tiga jambatan udara penumpang (Passenger Boarding Bridge) yang sering mengalami kerosakan sebelum ini juga telah digantikan dengan unit baharu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.5 juta.
Dato Sri Lee menjelaskan, usaha penambahbaikan ini merupakan langkah sementara sebelum projek pembesaran terminal Lapangan Terbang Miri dilaksanakan kelak.
“Kami sedang dalam peringkat cadangan dan penyediaan pelan untuk pembesaran terminal. Terminal baharu itu akan menampung tiga kategori penerbangan antarabangsa, antara negeri dan dalam negeri (Sarawak),” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada MAHB dan Kementerian Pengangkutan Malaysia atas kerjasama dalam menaik taraf kemudahan lapangan terbang yang menjadi pintu masuk utama ke bahagian utara Sarawak itu.
“Projek-projek ini penting untuk meningkatkan imej dan keselesaan Lapangan Terbang Miri, sementara kita menantikan projek pembesaran terminal yang telah lama dinantikan oleh rakyat,” tambah beliau.-EDISI UKAS