MIRI: Projek membina kawasan letak kereta termasuk jalan akses dan simpang masuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut Miri dan Sekolah Kebangsaan (SK) Senadin kini sedang giat dilaksanakan meskipun berdepan dengan kelewatan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek bernilai RM1.6 juta itu kini mencapai kemajuan kira-kira empat peratus di belakang jadual asal berikutan proses penstabilan tanah yang perlu dilakukan sebelum kerja penurapan batu dimulakan.
Beliau bagaimanapun yakin projek tersebut akan kembali mengikut jadual dalam masa terdekat.
“Projek ini sedikit lewat, kira-kira empat peratus di belakang jadual, namun kontraktor yakin akan dapat mengejar semula masa.
“Mereka perlu menunggu kerja penambakan tanah selesai dan tanah stabil sebelum meneruskan kerja-kerja seterusnya. Minggu depan, kerja meletakkan batu akan dimulakan,” katanya semasa melawat ke tapak projek pada Jumaat.
Menurut beliau, projek tersebut dimulakan pada 24 Februari 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2026 yang dilaksanakan di bawah peruntukan Kerajaan Sarawak melalui program Projek Rakyat DUN Senadin dengan Majlis Bandaraya Miri (MBM) sebagai agensi pelaksana.
Dato Sri Lee menegaskan, projek berkenaan amat penting bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan dua sekolah tersebut terutama pada waktu mula dan tamat sesi persekolahan.
“Di kawasan Senadin ini terdapat dua buah sekolah besar iaitu SMK Pujut dengan kira-kira 2,500 pelajar dan SK Senadin dengan 1,200 pelajar, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 3,700 pelajar.
“Oleh itu, kemudahan tempat letak kereta dan jalan akses baharu ini amat diperlukan untuk mengurangkan kesesakan, terutamanya semasa ibu bapa menghantar dan mengambil anak-anak mereka,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada MBM dan pihak kontraktor kerana memantau serta memastikan projek berjalan dengan baik dan mengikut jadual.
Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Februari atau awal Mac 2026, sekali gus memberi manfaat besar kepada warga sekolah dan penduduk sekitar kawasan Senadin.-EDISI UKAS