KUCHING: Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025 menyerlahkan bakat bahasa dan sastera anak Sarawak apabila pelbagai pertandingan berunsurkan bahasa dan sastera dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.
Program berkenaan berjaya menarik penyertaan meluas daripada pelbagai peringkat masyarakat, termasuk pelajar sekolah menengah serta penjawat awam dari seluruh negeri.
Dalam Pertandingan Penglipur Lara Moden kategori sekolah menengah, pasukan Atma Samura yang diwakili oleh Mohammad Dzulfaiz, Fedhrick Dhom Tidi dan Amadea Maya dari Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak dinobatkan sebagai johan.
Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Warkah Alam yang dianggotai Lovevinia Sharapova, Shasica Martha dan Marcellyn Frederick dari SMK Tebedu, manakala Ejen Ali The Reality yang diwakili Rania Nur Insyirah dan Nuradela Safira dari SMK Semerah Padi meraih tempat ketiga.
Bagi Sayembara Pidato Perpaduan kategori sekolah menengah, Yap Yi Sen dari Sekolah Menengah Chung Hua No. 1 muncul sebagai johan, diikuti Aliqa Aurelia Kurniawa Dwi Yulianto dari Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di tempat kedua dan Abd Muhaimin Haziq Abdullah Abd Latih dari sekolah yang sama di tempat ketiga.
Sementara itu, Pertandingan Pidato kategori umum menyaksikan Shafiq Zaidi dinobatkan sebagai johan, manakala Nur Afiqah Hazirah Arman dan Teo Fang Liang masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Dalam Sayembara Deklamasi Sajak kategori Penjawat Awam, Adzharye Johari dari Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak tampil cemerlang dengan mendeklamasikan sajak bertajuk “Pustaka Tanah Leluhur” karya Shamsudin Othman, sekali gus dinobatkan sebagai johan.
Tempat kedua dimenangi oleh Khalid Husseine Tuah dari Kolej Komuniti Mas Gading menerusi sajak bertajuk “Negeri Ini, Anak” karya Marsli N.O, manakala Jidih Muluyu dari Kolej Vokasional Bintulu meraih tempat ketiga dengan sajak bertajuk “Teguh Negara Tidak Menjelma Dengan Hanya Tumbuh Kata-Kata” karya Abizai.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Abang Haliman Abang Julai, di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, pada Jumaat.
Penganjuran program ini bukan sahaja mengiktiraf bakat dan kreativiti peserta dalam bidang bahasa dan sastera, malah memperkukuhkan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee