31 Rumah Golongan Kurang Berkemampuan Di Mambong Dibaik Pulih

Posted on 17 Oct 2025
Source of News: UKAS


PADAWAN: Seramai 31 penerima daripada golongan kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong menerima manfaat menerusi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang bermula Oktober ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang November 2025.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, program ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak bagi memastikan kebajikan rakyat khususnya di kawasan luar bandar terus terbela dengan penyediaan kediaman yang lebih selamat, selesa dan teratur.

Menurutnya, pelaksanaan projek ini turut melibatkan proses pemilihan kontraktor secara telus melalui cabutan undi.

“Program ini merupakan kesinambungan komitmen kerajaan dalam memperkasa kesejahteraan rakyat dan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menikmati kemudahan asas yang lebih baik.

“Kita telah menetapkan garis masa pelaksanaan yang jelas agar semua rumah dapat disiapkan dalam tempoh yang ditentukan kerana ianya amat penting demi kesejahteraan penduduk dan keberkesanan pelaksanaan projek,” katanya semasa berucap ringkas sebelum sesi cabut undi dimulakan di Pusat Khidmat DUN Mambong, pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu juga menegaskan para kontraktor untuk mematuhi garis panduan serta prosedur yang ditetapkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak.

Skop kerja bagi setiap rumah yang terlibat dalam program ini meliputi pelbagai aspek penambahbaikan termasuk penukaran atap dan dinding, pembinaan ruang dapur serta tandas baharu, pendawaian semula, kerja menaik taraf lantai dan tangga, serta pengecatan baharu dalam dan luar rumah.

Turut diberi perhatian ialah pembinaan benteng penahan hakisan, titian dan ruai tambahan bagi meningkatkan keselamatan serta keselesaan penghuninya. -EDISI UKAS