SINGAPURA: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) mempamerkan dua projek pembangunan utama Sarawak iaitu Projek Pembangunan Semula Bukit Assek di Sibu dan Projek Pembangunan Pasir Panjang di Kuching sempena Sarawak Mega Fair 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec, di sini dari 16 hingga 17 Oktober 2025.
Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, kedua-dua projek berkenaan mencerminkan komitmen LCDA dalam memacu transformasi bandar yang mampan serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri melalui perancangan pembangunan strategik dan inovatif.
“Projek Pembangunan Semula Bukit Assek melibatkan kawasan seluas 815.45 ekar (330 hektar) di pusat bandar Sibu yang bertujuan untuk mentransformasikan kawasan tersebut menjadi sebuah hab bandar moden dengan gabungan pembangunan komersial, kediaman dan komuniti yang seimbang.
“Sementara itu, Projek Pembangunan Pasir Panjang di Kuching yang merupakan Projek Rakyat di bawah komponen pembangunan infrastruktur meliputi kawasan seluas 389.77 ekar (157.73 hektar) yang memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan dan pelbagai guna,” jelas kenyataan itu.
Tambah LCDA, ruang pameran turut menampilkan pembentangan digital interaktif yang memperlihatkan visi organisasi terhadap pembangunan tanah serta sumbangannya kepada agenda pertumbuhan dan transformasi jangka panjang Sarawak.
Penyertaan LCDA dalam acara ini menjadi platform penting untuk mempromosikan potensi pembangunan dan pelaburan Sarawak kepada pasaran serantau dan antarabangsa, selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mencapai status ekonomi maju dan berpendapatan tinggi di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.-EDISI UKAS
Foto: LCDA