KUCHING: Seramai 120 usahawan Sarawak yang mengikuti program ‘INSKEN Bumiputera Business Coaching’ (IBBC) telah berjaya mencatatkan peningkatan jualan sehingga mencecah RM2.5 juta.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub berkata, selain kejayaan meningkatkan jualan usahawan, program IBBC dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Sarawak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) turut berjaya mencipta 39 pekerjaan baharu.
“Menerusi program IBBC ini, usahawan Sarawak telah merekodkan peningkatan jualan sebanyak RM2.5 juta dan mencipta 39 pekerjaan baharu.
“Sama ada pengusaha restoran mahupun gerai makanan telah berjaya meningkatkan margin keuntungan sebanyak 18 peratus melalui program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Graduasi Program IBBC, di sebuah hotel di sini, pada Khamis.
Lebih membanggakan lagi, seramai sembilan usahawan Sarawak berjaya menukarkan status perniagaan mereka daripada mikro kepada kecil menerusi program yang sama.
Susulan kejayaan ini, Datuk Mustaffa Kamil percaya tidak mustahil untuk produk perniagaan Sarawak menembusi pasaran ASEAN mahupun global sekiranya usahawan di sini terus mendapat bimbingan yang tepat, sekaligus menjana pertumbuhan yang lebih memberangsangkan.
“Selepas empat bulan usahawan kita dibimbing, kita terus mara ke hadapan bukan stakat di Brunei Darussalam, tetapi boleh ‘go ASEAN, go global’,” ujarnya lagi.
Dalam majlis tersebut, Lianna Laha dari Serian yang menjalankan perniagaan cendawan telah dinobatkan sebagai peserta terbaik program IBBC atas kejayaan mencatat peningkatan jualannya sebanyak 164 peratus, dalam masa yang sama memperoleh pensijilan MyGAP.
Beliau merupakan antara 120 usahawan yang diraikan setelah mengikuti program IBBC yang terbahagi empat kohort iaitu dua industri kafe dan restoran serta dua lagi industri pasar raya. -EDISI UKAS