SINGAPURA: Kerajaan Sarawak menzahirkan komitmen teguh untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama Singapura dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan ekonomi hijau yang mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelaburan Singapura ke Sarawak akan disokong oleh kestabilan politik, keselamatan ekonomi serta sumber tenaga bersih yang berpotensi besar untuk dikongsi.
“Pelabur mahukan jaminan kestabilan. Sarawak stabil, kerajaan stabil, saya sendiri selamat dan saya yakin, akan terus kekal begitu,” katanya ketika berucap menyempurnakan Sarawak Mega Fair 2025 yang berlangsung di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa Sarawak telah bersetuju secara prinsip untuk membekalkan 1,000 megawatt tenaga hijau kepada Singapura, sekali gus menandakan era baharu dalam kerjasama tenaga rentas sempadan.
“Kami sedang bekerjasama dengan kerajaan Singapura. Kabel akan dibangunkan antara Sarawak dan Semenanjung, seterusnya disambungkan ke Singapura. Ini langkah besar,” ujarnya.
Menjelas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak kini menjana tenaga melalui gabungan empangan hidro utama iaitu Bakun, Murum dan Batang Ai, di samping memanfaatkan sumber tenaga lain seperti solar terapung, gas berkarbon rendah dan biojisim.
Menurutnya, menjelang 2030, Sarawak menyasarkan penghasilan sebanyak 10 gigawatt tenaga boleh diperbaharui, dan angka ini dijangka meningkat kepada 15 gigawatt pada 2035.
Selain itu, turut dikongsikan berkenaan dengan perkembangan dalam penyelidikan teknologi hidrogen hijau yang disifatkan sebagai sumber tenaga masa hadapan.
Beliau yakin bahawa kos penghasilan hidrogen melalui proses elektrolisis akan menurun dengan ketara antara 2030 hingga 2035, sekali gus membuka peluang besar untuk Sarawak muncul sebagai pembekal utama hidrogen hijau kepada pasaran serantau, termasuk Singapura.
Mengulas mengenai penganjuran Sarawak Mega Fair pula, Datuk Patinggi Abang Zohari menyifatkannya sebagai lambang hubungan mesra dan kepercayaan dua hala antara Sarawak dan Singapura.
Acara itu, katanya, bukan sahaja membuka ruang kepada kerjasama perdagangan dan pelaburan, malah memperkukuh jaringan strategik dalam bidang teknologi, tenaga hijau dan pembangunan mampan.
"Kehadiran kami di sini bukan sekadar untuk berniaga. Kami hadir dengan hati yang terbuka bagi menjalin kerjasama dan membina masa depan yang mampan bersama Singapura serta seluruh rantau ini,”tambah beliau.
Dalam majlis sama, Datuk Patinggi Abang Zohari juga berpeluang menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Health Management International Pte Ltd (HMI) dengan Ibraco Berhad, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak dengan HALTEX Group (Global Halal Alliance) dan Page8, Mustafa's Pte Ltd dan HALTEXPRIUS Pte Ltd (Member Of Global Halal Aliance), Borneo Eco Fish Sdn Bhd dan Sheng Siong Supermarket Pte Ltd., Sarawak Skills (Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak) dan Temasek Polytechnic, SDEC Karuna JV Sdn Bhd (SKJV) dan WiredBoxGroup (WBG) serta Zecon Bhd, Neuto Pte Ltd dan Edra Power Holding Sdn.
Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-menteri kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengerusi Lembaga Pengarah Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, wakil-wakil kerajaan Singapura serta dif-dif kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan: Leya Ameera Annuar Rigos
Foto: Muhammad Rais Sanusi