Peranan Jabatan Mufti Sarawak Sebagai Pengeluar Fatwa Berautoriti Terus Diperkukuh

Posted on 16 Oct 2025
Source of News: UKAS


SIBU: Jabatan Mufti Sarawak terus memainkan peranan penting sebagai institusi pengeluar fatwa berautoriti di negeri ini dalam memastikan umat Islam memperoleh panduan hukum yang tepat, jelas dan berpaksikan syariat.

Menurut Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin tanggungjawab yang digalas oleh jabatan tersebut amat besar kerana ia bukan sekadar mengeluarkan fatwa, tetapi juga terlibat dalam penyelidikan, pendidikan kefahaman hukum, pengembangan ilmu falak serta penyebaran kefatwaan kepada masyarakat.

“Setiap fatwa yang diputuskan bukan sekadar hukum semata-mata, tetapi hasil penelitian mendalam melalui musyawarah para ahli serta berpaksikan kepada maqasid syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 1447H/2025M yang diadakan di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha, Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron, Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Dato’ Dr. Faudzinaim Badaruddin serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Datu Kipli turut berharap para peserta seminar akan mengambil peluang untuk menimba ilmu, mendalami hujah para pembentang, serta menyebarkan kefahaman yang diperoleh kepada masyarakat agar manfaatnya dapat dirasai secara meluas.

“Dalam konteks Sarawak yang majmuk, kefahaman yang jelas tentang fatwa akan memperlihatkan wajah Islam yang harmoni dan penuh toleransi,” tambah beliau. - EDISI UKAS