Fatwa Benteng Akidah Umat Islam Daripada Pengaruh Ideologi Asing

Disiarkan pada 16 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Fatwa bukan sekadar hukum hakam, tetapi sebaliknya menjadi benteng utama dalam memelihara akidah umat Islam daripada pengaruh ideologi asing dan aliran menyeleweng.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam era media sosial yang semakin mencabar, umat Islam memerlukan rujukan yang kukuh dan berautoriti bagi memastikan keimanan mereka terus terpelihara daripada fahaman yang boleh menggugat kepercayaan dan perpaduan masyarakat.

“Fatwa berautoriti adalah benteng yang dapat menghalang fahaman sesat dan pengaruh merosakkan akidah.

“Dengan fatwa yang jelas dan disebarkan secara meluas, masyarakat akan lebih terarah dan tidak mudah termakan provokasi yang boleh menggugat kepercayaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya semasa Majlis Perasmian Seminar Fatwa Peringkat Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Sibu pada Khamis.

Sementara itu, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi menegaskan sejarah membuktikan bahawa fatwa bukanlah sesuatu yang baharu dalam tradisi Islam malah telah menjadi asas penting dalam menjawab persoalan masyarakat sejak zaman para sahabat dan ulama terdahulu.

Jelasnya, di Sarawak sebelum wujudnya institusi formal, urusan agama Islam banyak bergantung kepada hakim adat dan tokoh agama.

“Penubuhan Jawatankuasa Fatwa pula menjadi titik penting dalam memperkukuh peranan mufti sebagai pentadbir urusan hukum di negeri ini.

“Fatwa bukan sahaja memberi jawapan kepada persoalan hukum, tetapi menjadi jambatan yang menghubungkan nas syariah dengan realiti masyarakat kita yang unik di Sarawak ini,” tambah beliau.

Jelas beliau lagi, Astana Negeri sentiasa memberi keutamaan terhadap pengukuhan institusi fatwa sebagai teras penting dalam memastikan setiap keputusan hukum yang dikeluarkan adalah berwibawa serta selaras dengan keperluan dan realiti masyarakat Islam di Sarawak.

Seminar yang bertemakan “Fatwa Berautoriti Ummah Lestari” menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat Islam terhadap fungsi dan kepentingan fatwa sebagai panduan hidup berlandaskan syariah.

Turut hadir isteri kepada TYT Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Moh Sanusi, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Mufti Terengganu Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron, Mufti Negeri Sembilan Prof. Madya Dato’ Dr. Faudzinaim Badaruddin serta tetamu lain.-EDISI UKAS