Projek Pembangunan di Bintulu Dipantau Rapi, Fokus Tangani Isu Tapak dan Kelewatan

Posted on 16 Oct 2025
Source of News: UKAS


BINTULU: Pelaksanaan projek pembangunan di Bahagian Bintulu terus diberi perhatian bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan negeri benar-benar mencapai matlamat dan memberi manfaat kepada rakyat.

Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Pemantauan Projek dan Program Luar Bandar), Dato Sri Rohani Abdul Karim, telah melakukan lawatan pemantauan dan sesi taklimat di Imperial Hotel Bintulu, pada Rabu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts. Johnny Pang Leong Ming dan ADUN Jepak, Iskandar Turkee.

Dato’ Sri Rohani dalam sesi taklimat yang diadakan berkata, semua agensi pelaksana diingatkan supaya terus mengamalkan pendekatan proaktif dan berorientasikan penyelesaian, bukan saling menyalahkan apabila berdepan kelewatan.

“Semangat kerjasama, komunikasi terbuka dan tanggungjawab bersama antara semua pihak dilihat sebagai kunci utama memastikan setiap projek siap mengikut jadual serta memberi impak kepada masyarakat setempat,”ujarnya.

Lawatan tersebut turut melibatkan pemantauan terhadap beberapa projek pembangunan utama di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara projek yang diberi perhatian ialah pembinaan jejambat (flyover) di Medan Jaya dalam kawasan DUN Tanjong Batu, bertujuan meningkatkan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.

Di DUN Jepak, tumpuan diberikan kepada projek pembinaan parit monsun di Kampung Warisan bagi mengatasi masalah banjir berulang, manakala di DUN Kakus, pemantauan dilakukan terhadap projek menaik taraf jalan premix di sepanjang Batang Tatau yang penting bagi memperbaiki akses penduduk luar bandar dan menyokong aktiviti ekonomi setempat.

Dalam kenyataan berasingan, Ts Johnny Pang memaklumkan, jejambat Medan Jaya yang kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 58 peratus dilaporkan mengalami kelewatan disebabkan isu utiliti seperti laluan kabel telekomunikasi di bawah tapak binaan.

“Perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan kontraktor telah diadakan bagi memastikan kerja-kerja pemindahan kabel dapat diselesaikan segera dan projek disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan.

“Pengguna jalan raya turut dinasihatkan agar berhati-hati, khususnya pada waktu malam dan ketika hujan, memandangkan kawasan tersebut masih dalam fasa pembinaan aktif,”katanya.

Sementara itu, Iskandar Turkee turut memaklumkan projek parit monsun di Kampung Warisan, Jepak yang menelan kos sebanyak RM7.3 juta telah siap sepenuhnya dan berjaya mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan berkenaan.

Keberkesanan sistem ini terbukti apabila banjir besar yang berlaku pada Januari lalu surut dengan cepat hasil fungsi parit yang baharu dibina.

Cadangan bagi fasa susulan pembinaan laluan monsun tambahan turut sedang dikaji untuk dimasukkan dalam rolling plan seterusnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memastikan aliran air lebih lancar ke Batang Kemena dan mengurangkan risiko banjir di masa hadapan.

Keseluruhan sesi pemantauan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan setiap projek pembangunan, sama ada infrastruktur jalan raya, sistem saliran mahupun kemudahan awam dapat dilaksanakan dengan telus, efisien dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Pemantauan secara langsung di lapangan membolehkan keadaan sebenar dikenal pasti dengan lebih tepat berbanding laporan bertulis semata-mata, sekali gus memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan projek pembangunan negeri.-EDISI UKAS