SRI AMAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif menyeluruh yang melibatkan aspek sosial, infrastruktur dan pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, pendekatan holistik ini penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar terus terbela seiring dengan kemajuan negeri.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di sini pada Rabu.
Program yang diadakan bersempena Kempen Kebersihan Komuniti, bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk terhadap kepentingan kebersihan, keselamatan dan kesihatan awam.
Dalam majlis berkenaan, beberapa bantuan kewangan disampaikan bagi menyokong aktiviti masyarakat setempat, antaranya RM5,000 kepada JKKK Kampung Kenyungan, RM3,000 kepada Biro Wanita dan RM2,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut merasmikan Projek Naiktaraf Jalanraya, Perparitan dan Elektrik di kampung berkenaan, yang melibatkan beberapa komponen utama termasuk: naiktaraf rumah panjang Tr. Siliver Garit yang terbakar (RM200,000), kerja-kerja perparitan (RM150,000) dan naiktaraf sistem elektrik (RM100,000).
Bagi memperkukuh infrastruktur asas, kerajaan turut menyalurkan tambahan RM120,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pembaikan jalan dan sistem perparitan.
Dalam pada itu, Datuk Francis turut mengadakan lawatan pemantauan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang, Undop sempena pelaksanaan Ujian Penilaian Dual Language Programme (UP-DLP) Tahun 6 bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan pelaksanaan ujian berjalan lancar serta mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).
Seramai 12 calon menduduki ujian di sekolah berkenaan dengan dibantu tiga pengawas peperiksaan.
Secara keseluruhannya, perjalanan ujian di SK Batu Lintang berjalan teratur dan terkawal.
“Kita mahu komuniti luar bandar terus maju, bersih, selamat dan berdaya saing, bukan hanya melalui pembangunan infrastruktur, tetapi juga melalui pendidikan yang menjadi asas kepada masa depan generasi muda,” tegas beliau.-EDISI UKAS