MUKAH: Bengkel Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang bertemakan ‘The Silent World and The Speaking Hands 2025’ anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah membawa mesej jelas iaitu nilai kemanusiaan dan empati terhadap komuniti pekak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, bahasa isyarat bukan hanya gerakan tangan, tetapi simbol pengiktirafan terhadap martabat dan hak asasi insan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.
“Apabila kita belajar berbahasa isyarat, kita sebenarnya mendengar dengan hati.
"Bengkel bahasa isyarat yang diadakan ini sangat baik untuk disertai oleh seluruh lapisan masyarakat, bukan sahaja agensi kerajaan kerana ianya dapat membantu kita berkomunikasi dengan lebih baik dan memahami keperluan komuniti OKU pendengaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan bengkel tersebut, di sini, pada Rabu.
Bengkel BIM itu telah berjaya menarik penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan komuniti, sekali gus memperkukuh usaha membentuk masyarakat inklusif dan mesra OKU.
Sehubungan itu, Royston menegaskan dalam kehidupan seharian, mungkin berlaku situasi yang memerlukan komunikasi segera dengan individu berkeperluan khas, terutamanya ketika melibatkan urusan rasmi atau kecemasan.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, Dariel Thiong Yiew Seng, dalam ucapannya sebelum itu berkata, bengkel berkenaan merupakan inisiatif Jurupulih Perubatan Fisioterapi dengan kerjasama pelajar latihan industri dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Katanya, objektif bengkel adalah untuk memberikan pendedahan asas komunikasi menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia serta meningkatkan kesedaran tentang keperluan mewujudkan persekitaran mesra OKU Pekak.
“Bahasa isyarat ialah bahasa perpaduan yang mengajar kita menghormati dan mengiktiraf komuniti Pekak sebagai sebahagian daripada masyarakat yang setara,” jelasnya.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Mukah AO Josy Demei, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip dan Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias. -EDISI UKAS