SERIAN: Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Bahagian Serian Tahun 2025 bakal menampilkan pendekatan lebih bermakna tahun ini dengan menekankan aspek perlindungan, kesejahteraan dan pembangunan sahsiah kanak-kanak sebagai fokus utama.
Majlis tahunan anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Serian bersama Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) Serian dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Krangan itu dijadualkan berlangsung pada penghujung November ini.
Majlis itu juga akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, merangkap ADUN Kedup, Datuk Maclaine @ Martin Ben.
Menurut Pengerusi PPKK Bahagian Serian, Melin Sunang, sambutan tahun ini bukan sekadar acara riang kanak-kanak, tetapi juga platform memperkukuh kesedaran ibu bapa dan masyarakat tentang tanggungjawab kolektif dalam melindungi hak kanak-kanak daripada sebarang bentuk penderaan, pengabaian dan eksploitasi.
“Kita mahu masyarakat faham bahawa setiap kanak-kanak berhak dilindungi, disayangi dan diberi peluang membesar dalam persekitaran yang selamat dan positif,” katanya semasa sesi penyelarasan program di SK Krangan pada Rabu.
Sambutan tersebut dijangka menarik lebih 300 peserta, melibatkan murid-murid, guru, ibu bapa dan penduduk dari lima kampung sekitar Krangan, iaitu Krangan Trusan, Krangan Jaya, Krangan Engkatak, Krangan Baru dan Krangan Tekalong.
Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan termasuk senamrobik, sukaneka, serta majlis perasmian penangguhan sebagai kemuncak program yang diadakan secara separuh hari.
Program ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih prihatin terhadap isu kebajikan kanak-kanak dan seterusnya menyemai kesedaran bahawa pelindungan anak adalah tanggungjawab bersama semua pihak.-EDISI UKAS