KUCHING: Hubungan dua hala antara Amerika Syarikat dan Malaysia termasuk Sarawak menjadi topik perbualan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Duta Amerika Syarikat (US) Ke Malaysia, Edgard D.Kagan semasa kunjungan hormat beliau di Astana Negeri Sarawak pada Rabu.
Menurut Edgard, perbincangan mereka juga menyentuh mengenai perkara-perkara berkaitan hubungan baik US-Malaysia.
“Kami mempunyai perbualan yang hebat tentang hubungan US-Malaysia dan juga hubungan antara US dan rakyat Sarawak.
“Saya rasa dia memberi saya gambaran yang sangat baik tentang apa yang berlaku di Sarawak dan juga kepentingan yang dia letakkan pada pembangunan ekonomi dan kemakmuran Sarawak.
“Kami juga bercakap tentang bagaimana cara kami boleh mengembangkan hubungan baik ini dan dia memberi saya beberapa nasihat yang sangat baik tentang bagaimana US harus berfikir tentang rantau ini,” katanya kepada media.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Wan Junaidi di atas pelantikan beliau sebagai TYT Sarawak.
“Saya mengenalinya semasa saya berkhidmat di Kuala Lumpur dahulu ketika beliau berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia.
“Dan ia adalah sangat bagus untuk berjumpa semula dengan beliau dan saya ingin mengucapkan tahniah kepadanya secara peribadi di atas pelantikan yang luar biasa ini,” ujarnya.
Terdahulu, Tun Dr Wan Junaidi telah menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Perdana Menteri.
Rombongan tersebut telah diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kanan JPM, Datuk Awang Alik Jeman.
Pertemuan itu antara lain untuk menyampaikan Watikah Persilaan sempena Pertabalan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang Di-Pertuan Agong Ke-17 pada 20 Julai depan. -EDISI UKAS