Penstrukturan Perkhidmatan Awam Terap Pendekatan 'Lean Civil Service'

Posted on 15 Oct 2025
Source of News: UKAS


SINGAPURA: Kerajaan Sarawak kini sedang menjalankan penstrukturan semula perkhidmatan awam melalui pendekatan 'lean civil service’ yang menekankan kecekapan dan efisiensi, tanpa membebankan sistem pentadbiran sedia ada.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pendekatan ini memberi penekanan kepada perkhidmatan awam yang bersaiz kecil tetapi berprestasi tinggi, dengan tumpuan utama kepada penyampaian dasar dan tadbir urus.

“Pengurusan aset dan pelaburan strategik negeri kini diserahkan kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang beroperasi secara korporat dan profesional, sekali gus menjana pulangan dalam bentuk dividen kepada kerajaan Sarawak,” katanya ketika berucap menyempurnakan Program Sarawak Civil Service One Team Retreat (SCS OTR) 2025 di sini, pada Rabu.

Dalam ucapan sama, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, peranan penjawat awam hari ini bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi sebagai rakan strategik kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan yang holistik dan mampan.

Ke arah itu tegasnya, penjawat awam perlu memahami strategi ekonomi Sarawak, termasuk aspek ekonomi hijau, perdagangan karbon, serta pelaburan dalam industri strategik seperti tenaga dan gas.

“Sarawak melabur dalam program latihan dan pendedahan antarabangsa melalui kerjasama dengan institusi-institusi terkemuka seperti Harvard, Oxford dan World Bank.

"Kita juga menyediakan program eksekutif khas untuk pegawai kanan perkhidmatan awam, supaya mereka sentiasa dikemas kini dengan isu semasa dan trend dunia.

"Kita mahu penjawat awam yang faham bagaimana teknologi masa depan berfungsi. Kini segala-galanya dikawal oleh teknologi, dari reka bentuk cip hingga ke sistem peranti pintar. Semua ini memerlukan bekalan kuasa, air dan paling penting, brain power atau kuasa pemikiran,"jelasnya lanjut.

Di samping itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyatakan hasratnya untuk melihat Sarawak menjadi sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi setaraf negara-negara Nordik di Asia menjelang 2030, bahkan menjadi ‘bintang ekonomi Asia’.

Beliau juga menyentuh tentang aspirasi masa depan, termasuk penguasaan dalam teknologi canggih dan rekaan cip, serta penglibatan dalam industri berimpak tinggi menjelang 2050.

“Kalau Elon Musk boleh bina kapal angkasa untuk ke planet Marikh, kita juga boleh jadi bintang di Asia dengan sokongan penjawat awam yang berkualiti, berfikiran segar dan berani membawa idea baharu,” tambahnya lagi.

Penutupan Program SCS OTR 2025 itu turut dihadiri Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS