KUCHING: Seminar Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah 2025 anjuran Bahagian Penguatkuasaan Syariah, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyerlahkan komitmen berterusan untuk mendaulatkan undang-undang Syariah sebagai panduan hidup, bukan sekadar sistem perundangan.
Bertemakan “Mendaulatkan Undang-Undang Syariah”, seminar yang diadakan di UNIMAS itu menghimpunkan para pegawai penguatkuasa, pensyarah dan mahasiswa dalam usaha memperkukuh kefahaman terhadap pelaksanaan Syariah berasaskan hikmah, kasih sayang dan tanggungjawab sosial.
Pengarah JAIS, Sahibus Siyadah Ustaz Mual Suaud dalam ucapannya menegaskan bahawa pelaksanaan undang-undang Syariah bukan hanya tertumpu kepada peraturan mahkamah, tetapi merupakan perintah Allah SWT yang menuntut keadilan dan kebijaksanaan.
“Syariah mesti ditegakkan dengan kasih sayang, bukan kekerasan, dengan pendidikan, bukan semata-mata hukuman,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pemangku Pengarah JAIS, Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi pada Majlis Penangguhan Seminar Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah 2025 Dewan Seminar, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin, UNIMAS pada Rabu.
Menurutnya lagi, mendaulatkan Syariah bermakna menegakkan hukum Allah sebagai panduan hidup dalam jiwa, akhlak dan tindakan seharian, agar keadilan dan kesejahteraan dapat ditegakkan dalam masyarakat.
Beliau turut menggesa Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAIS untuk terus memainkan peranan bukan hanya sebagai pelaksana undang-undang, tetapi juga sebagai pendidik dan pembimbing masyarakat agar memahami Syariah sebagai rahmat, bukan ancaman.
“Mendaulatkan Syariah bukan tanggungjawab institusi agama semata-mata, tetapi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjadi contoh dalam akhlak, tutur kata dan tindakan,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS